05 November 2012

Sosej Ayamas Tak Selamat Dimakan?


KUCHING: Tindakan mengalihkan produk Ayamas Food Sdn Bhd (Ayamas) dari rak penyimpanan di pasar raya hanya dilakukan selepas mendapat arahan rasmi daripada Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abdul Karim berkata, apabila mendapat arahan daripada dua kementerian tersebut baharu tindakan akan diambil.
Menurutnya, kes tersebut agak serius dan memerlukan penyiasatan terperinci daripada kementerian yang terbabit.
“Kita belum dapat surat daripada kementerian yang bertanggungjawab lagi. Apabila dapat surat baharu kita akan mengarahkan pegawai untuk mengambil tindakan.
“Sekiranya benar berlaku, ini adalah kes yang serius kerana membabitkan kesihatan,” katanya selepas merasmikan Media Subsidy Hunt di Giant Hypermarket semalam.
Beliau berkata, buat masa ini tiada tindakan dapat diambil kerana belum mendapat arahan daripada kementerian terbabit.
“Ini mungkin juga khabar angin atau dilakukan pesaing syarikat pengeluar produk,” ujarnya.
Jika sabit kesalahan, tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna boleh diambil merangkumi denda RM100,000 atau tiga tahun penjara.
Baru-baru ini, Menteri Muda Pertanian (Penyelidikan dan Pemasaran) Datuk Mong Dagang mengarahkan peruncit dan pengimport menggantung penjualan produk Ayamas Food Corporation Sdn Bhd selepas dikesan mengandungi antibiotik terlarang chlorampenicol.
“Lembaga Veterinar Negeri mengesan antibiotik terlarang (chlorampenicol) dalam sampel sosej ayam yang juga disahkan Lembaga Veterinar di Kuala Lumpur,” ujarnya ketika dihubungi.

untuk lebih maklumat lanjut sila rujuk pautan inihttp://bit.ly/Stlb7P

No comments: