26 February 2013

Aizat Ingin Melamar Yuna?



SELEPAS penyanyi antarabangsa, Yunalis Zarai atau Yuna memilih Aizat Amdan untuk menyanyikan lagu miliknya, Terukir Di Bintang di pentas Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27), rupa-rupanya dalam diam-diam Aizat menaruh hati untuk menyunting Yuna.
Kejayaan Aizat membawakan lagu tersebut sehingga dinobatkan sebagai juara AJL27 menjadi penguat semangat kepada penyanyi dan komposer muda itu menyatakan hasrat untuk menyunting dan melamar Yuna.
Aizat akhirnya berkesempatan menyatakan hasratnya itu kepada Yuna tetapi bekas kekasih kepada Qi Razali itu begitu sibuk dengan kerjaya nyanyiannya di Amerika Syarikat dan meminta Aizat menunggunya.
Apakah ikatan sebenar yang terjalin antara Yuna dan Aizat? Ikuti temu bual sebuah akhbar tempatan bersama Aizat.
Soalan: Apakah maksud anda ingin menyunting dan melamar Yuna?
AIZAT: Sebenarnya saya berhasrat untuk menyuntingnya untuk berkolaborasi bersama dalam sebuah album.
Adakah Yuna sudah menyatakan persetujuan untuk berkolaborasi bersama Aizat?
Susah hendak bekerjasama dengan Yuna sebab dia sangat sibuk. Namun, saya sudah beritahu dia mengenai hasrat saya ini. Dia bersetuju cuma belum ada masa yang sesuai. Saya kena tunggu dia pulang ke Malaysia dan kemudian baru boleh masuk studio.
Adakah anda kecewa kerana perlu menunggu Yuna?
Tidak mengapa. Sementara menunggu dia, saya boleh fokus kepada penghasilan album ketiga saya termasuk projek kumpulan Go Gerila serta menghasilkan album untuk penyanyi di bawah syarikat milik saya, Kasi Gegar Entertainment, Amir Jahari.
Berapa buah lagu yang bakal terkandung dalam album ketiga anda nanti dan bilakah ia akan dilancarkan?
Insya-Allah, album ketiga saya nanti mengandungi 12 lagu - enam lagu Inggeris dan enam lagu Melayu. Ia dijadualkan berada di pasaran menjelang bulan Mei ini.
Apakah kelainan album ketiga Aizat itu?
Ia bakal menonjolkan sisi kematangan diri saya. Album itu juga akan menjadi produk pertama yang dihasilkan di studio milik saya sendiri. Selain itu, peminat juga dapat lihat kelainan dari segi muzik kerana saya juga akan bekerjasama dengan beberapa penyanyi terkenal tempatan termasuk penyanyi antarabangsa.
Siapakah penyanyi-penyanyi tempatan dan antarabangsa yang Aizat maksudkan itu?
Saya terpaksa rahsiakan dulu sebagai kejutan kepada peminat.
Album terakhir Aizat diterbitkan tiga tahun lepas. Kenapakah ambil masa yang lama untuk hasilkan album baharu?
Saya rasa inilah masanya untuk saya muncul dengan album baharu selepas tiga tahun. Sebabnya, studio syarikat saya juga sudah siap dan memudahkan untuk kerja-kerja rakaman dan saya juga baru selesai mengikuti pengajian dalam bidang Logic Pro Course selama empat bulan di Garnish School Of Sound (SOS), Hackney, London.
Imej Aizat kini sudah berubah, sudah bermisai. Adakah ia disebabkan oleh seseorang? Teman wanita barangkali?
Hati saya belum milik sesiapa dan saya masih mencari (ketawa). Bukan kerana sudah ada kekasih menyebabkan imej saya berubah tetapi saya lakukan imej ini secara spontan.
Umur Aizat sudah 24 tahun, masih belum mempunyai sesiapakah yang istimewa di hati?
Saya bukan menolak atau tidak ada keinginan untuk bercinta, tetapi biarlah saya fokus pada kerjaya dulu.


No comments: