25 September 2012

Darlene Flynn,Janda Bergelar Ratu Kasut Dunia!




PENGGEMAR kasut memecahkan rekodnya sendiri dengan memiliki 16,400 barangan bertema kasut.

Darlene Flynn, 57, dari Romoland, California, atau lebih dikenali sebagai “Wanita Kasut” atau “Ratu Kasut”, mula mengumpulkan koleksi kasut ekoran perceraiannya pada 2001. Menjelang 2006, dia mempunyai 7,765 barangan dan namanya telah diisytiharkan dalam Buku Rekod Dunia Guinness. 

Kini, dengan koleksi melebihi dua kali ganda jumlah itu dan dianggarkan bernilai AS$500,000 (RM1.5 juta), senarainya telah dikemas kini untuk edisi 2013.

Selain kasut , Darlene turut mengumpulkan perabot berbentuk kasut, hasil seni bertema kasut, pin, pakaian, teko, sabun, telefon, porselin dan ribuan replika kasut mini.



Antara barangan lebih popular ialah replika kasut kaca Cinderella, kasut merah Dorothy daripada Wizard of Oz, kumpulan kasut Betty Boop dan tumit tinggi Barbie.

Kabinet kaca menghiasi hampir setiap bilik di kediamannya dan ia mengambil masa dua minggu untuk Darlene mengalihkan setiap barangan daripada kabinet itu dan menyusunnya.

Dia mengakui dalam satu wawancara dengan North County Times: “Saya tidak tahu mengapa ia mesti kasut. Saya hanya sukakannya dan ia semakin tidak dapat dikawal.”

Darlene berkata, dia mendapat ilham untuk membeli 28 replika kasut mini yang pertama selepas menziarahi seorang saudaranya yang mengumpul barangan itu ketika dia dan suaminya baru bercerai.

“Saya tidak perlu menumpukan perhatian kepada suami lagi dan saya mempunyai waktu untuk menumpukan kepada kasut.

“Saya suka mempunyai barangan itu. Saya memandangnya setiap hari dan ia mengingatkan bila saya membelinya dan kunjungan saya ke seluruh dunia,” katanya.

Walaupun dia telah membelanjakan hingga $1,800 (RM5,614) untuk satu kasut mini, barangan paling dihargai Darlene ialah sepasang but yang dipakai neneknya pada hari perkahwinan wanita itu.

Ibu kepada seorang anak itu berkata, dia boleh memakai ‘hanya’ kira-kira 100 pasang daripada koleksi kasutnya dan berazam untuk membina muzium kasut satu hari kelak.

Dia hampir menjadi wanita yang tinggal dalam kasut pada kehidupan sebenar apabila pernah membuat bidaan $6,000 (RM18,716) di eBay untuk membeli sebuah bangunan 16 kaki X 20 kaki yang berbentuk kasut.

Nasib kurang baik bagi Darlene kerana seseorang telah menewaskannya dalam bidaan itu.

“Saya akan hidup dalam kasut jika ia cukup besar untuk memuatkan kasut saya yang lain,” katanya.



-SUMBER

1 comment:

ROJAK said...

kasut pun boleh digubah sampai jadi macam tu