11 March 2012

Kisah Ayah Mengajar Anak-Anaknya Tentang Jenazah & Kubur 2




Perjalanan dari masjid ke tanah perkuburan adalah lebih kurang dalam 7km sahaja.  Tidak jauh.  Sambil memandu, saya menerangkan kepada anak-anak tentang misi seterusnya supaya mereka faham apa nak buat.

“Alhamdulillah, selepas solat jenazah kita nak pergi kubur pulak”  Terang saya.

“Jauh ke?”  Nabilah bertanya.

“Tadi Abah tanya kat pemandu van jenazah, dekat je.  Kat Puncak Alam je.”  Jawab saya.

“OK, macam Abah cakap kat Umi pagi tadi, ni Abah nak terangkan semula kat anak-anak Abah apa kelebihan kita solat jenazah dan iringi jenazah ke kuburan ya…”  Saya mengambil perhatian anak-anak saya.

Kelihatan semua menumpukan perhatian ke atas apa yang bakal saya ucapkan, kecuali Jannah.  Jannah yang baru berumur dua tahun lebih sibuk dengan kerjanya sendiri…

“Kita datang ziarah jenazah, solat jenazah dan iringi jenazah ke kuburan ini adalah kerana ia saranan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam…”  Saya memulakan nasihat.

“SallAllahu `alaihi wasallam”  serentak Nabilah dan Husna menjawab.

“Nabi sallAllahu `alaihi wasallam kata seseorang yang mensolatkan jenazah dan mengiringi jenazah akan diberikan pahala sebesar 1 qirat atau 2 qirat.  Tahu tak apa itu 1 qirat?”  Tanya saya.

“Tak tahulah Abah…”  Jawab Nabilah dan Husna.

“OK, 1 qirat ni lebih kurang sebesar bukit Uhud.  Maknanya pahala orang mensolatkan jenazah, lalu mengiringinya ke kuburan sangat besar pahalanya.  Kita kalau dapat berita kematian tak kiralah samada kenal atau tidak, sepatutnya ambillah peluang untuk solatkan jenazahnya dan iringi jenazahnya ke kuburan.  Selain ia tanggungjawab sesama muslim, pahala yang ALLAH berikan kepada kita sangat besar.  Tak patut kita lepaskan peluang macam ni…”  Jelas saya.

Masing-masing mendengar sahaja.

“Sampai kat kubur nanti, pertama sekali apa yang patut kita buat?”  Soal saya kepada anak-anak.

“Entah.  Bagi salam kot…”  teka Nabilah, lalu diikuti Husna dengan tekaan yang sama.

“Betul.  Pandai anak-anak Abah.  Sampai kat sana nanti, berilah salam kat ahli kubur ya…”  Saya mengesahkan jawapan mereka.

“Macam mana cara nak beri salam tu Abah?”  Tanya Husna.

“Assalamu`alaikum wahai penghuni kubur.  Ucap macam tu pun takpe”  Cadang saya dengan ucapan yang mudah supaya mereka mudah ingat dan boleh praktikkan.

Kedengaran suara masing-masing dari belakang kenderaan mempraktikkan cara beri salam kepada penghuni kubur.

“Dengar ni baik-baik.  Dah sampai kat kubur nanti, Abah nak minta anak-anak Abah jangan bersungut ya”  Pinta saya.

“Bersungut tu apa Abah?”  Tanya Husna lagi.

“Bersungut tu macam merungutlah.  Kan Abah?”  Nabilah cuba menerangkannya kepada adiknya, Husna, lalu meminta pengesahan saya.

“Lebih kurang macam tulah.  Ya, Abah minta anak-anak Abah agar jangan merungut penatlah, letihlah, dahagalah, panaslah, boringlah dan macam-macam perangai yang buat Abah tak suka.  Kubur bukanlah tempat untuk kita fikirkan tentang keselesaan diri kita.  Kat situ sebaiknya kita sabar dan insaf serta ambil pengajaran terhadap kematian”  Saya memberikan penerangan.

“Baik Abah”  Jawab Nabilah dan Husna.

“Kat sana nanti, anak-anak Abah berdirilah dan tengoklah kubur-kubur yang ada dan fikirkan tentang penghuni yang berada di dalam kubur-kubur itu supaya datang rasa keinsafan kepada diri sendiri”  Sambung saya.

“Fikirkan diorang kena pukul dengan Malaikat ke, Abah?”  Tiba-tiba Husna mencelah.

“Eh, bukan begitu.  Tak semestinya mereka semua tu kena pukul.  Tapi, fikirkanlah suasana bagaimana mereka semua sedang sibuk ditanya oleh dua Malaikat.  Dan bayangkan pula kita sendiri yang berada di dalam tu… Supaya kita insaf apabila berfikir tentangnya”  Jawab saya.

“Apa soalan-soalannya yang Malaikat akan tanya, Abah?”  Nabilah mengutarakan soalan.

“Pertama sekali, Abah nak tanya, siapa nama dua Malaikat yang tanya soalan di dalam kubur?  Nabilah dan Husna dah belajar kan kat sekolah?  Hah, cer jawab…”  Soal saya kepada anak-anak.

“Malaikat Mungkar dan Nakir!”  Jawab Nabilah setelah tersasul dengan nama-nama Malaikat yang lain.

“Bagus.  OK, dua Malaikat itu akan tanya:  Siapa Tuhan kamu?  Apa agama kamu?  Siapa Nabi kamu?  Hah, Nabilah dan Husna boleh jawab tak?”  Saya menjawab lalu menyoal mereka pula.

Anak-anak saya bercakap-cakap sesama mereka di belakang kereta.  Faisal dengar sahaja kakak-kakaknya berbincang dua orang.

“Err… ALLAH lah TUHAN kita.  ISLAM lah agama kita.  Nabi Muhammad lah Nabi kita.  Kan Abah?”  Jawab Nabilah dan Husna secara bersama-sama

“Ya, itulah jawapannya.  Tapi kita nanti di dalam kubur hanya boleh jawab jika kita betul-betul beriman dengan itu semua.  Jika semasa hidup tak beriman dengan itu semua, maka di dalam kubur siaplah!!!”  Saya memberikan respon dengan nada mengancam.

Terdengar nada kerisauan dari Nabilah dan Husna.  Saya biarkan mereka berfikir sambil saya memandu kenderaan.  Di depan sana, kelihatan van jenazah sudah masuk selekoh, keluar dari jalan besar.  Mungkin dah nak sampai kawasan perkuburan agaknya.

“OK, kita dah nak sampai dah ni.  Nampak banyak kereta beratur depan kita ni.  Semua ni nak pergi kuburlah ni.  Mereka semua ni nak kejar pahala sebesar bukit Uhud.  Hah, Anak-anak Abah cuba lihat bukit tu?  Besar tak?”  Saya mengajak anak-anak saya melihat sebuah bukit yang paling dekat dengan kami  yang jaraknya mungkin hanya satu kilometer dari kami.

“Nampak…!”  Jawab semua serentak.

“Ha, kalau pahala sebesar tu banyak tak?”  Tanya saya.

“Banyaklah Abah!!!”  Jawab mereka.

“Ha, itu baru bukit di Puncak Alam.  Belum bukit di Uhud lagi.  Bukit Uhud tu lebih besar dari tu tau.  Betapa ALLAH ni Maha Pemurah.  ALLAH memang nak beri pahala kepada kita semua.  Dengan syarat kita mesti beramal”  Jelas saya.

Saya cuba memahamkan mereka betapa besarnya pahala yang ALLAH nak beri kepada orang yang mensolatkan dan mengiringi jenazah ke kuburan.  Dalam hadith ada disebut 1 qirat untuk yang hanya mensolatkan jenazah.  Manakala 2 qirat untuk orang yang mensolatkan dan mengiringi jenazah ke kuburan sehingga selesai dikebumikan.  Dan ukuran 1 qirat lebih kurang sama dengan saiz Bukit Uhud.
Yang paling penting ialah kesan buat diri sendiri dari mensolatkan dan mengiringi jenazah ke kuburan ialah mendatangkan keinsafan kepada diri tentang kematian.  Itulah hikmah utama perbuatan mensolatkan jenazah dan mengiringi jenazah ke kuburan hingga selesai dikebumikan.

“Ya ALLAH, besarnya, banyaknya pahala!”  Nabilah dan Husna mula teruja.  Faisal turut teruja sama.  Jannah pula menunjukkan jarinya ke bukit itu setelah melihat abang dan kakak-kakaknya menumpukan perhatian kepada bukit tersebut.

“ALLAHU AKBAR!  InsyaALLAH, kalau kita ikhlas nakkan pahala dari ALLAH, ALLAH akan beri.  Mudah-mudahan kita diberikan pahala dariNYA.  Sebab tu Abah dah sebut tadi, jangan lepaskan kesempatan solatkan jenazah dan iringi jenazah ke kuburan kalau ada peluang.”  Sambung saya.

“Baik, Abah.”  Nabilah dan Husna memberikan respon mereka sambil mengangguk.

“Ok, kita dah nak sampai dah.  Abah nak beritahu, di kubur nanti jangan merungut-rungut ya.  Tak payah duduklah.  Berdiri je di kuburan nanti.  Beri penghormatan kat jenazah tersebut.”  Saya memberikan nasihat yang terakhir sebelum kenderaan sampai di tanah perkuburan.

“Berdiri je?  Tak boleh duduk?”  Tanya Husna.

“Ya, sebaik-baiknya berdirilah.  Kalau nak duduk, jangan duduk di atas kubur.  Cari tempat lain kalau penat nak duduk.  Sebab Nabi larang kita duduk di atas kubur.  Nabi memberi ancaman lebih baik duduk di atas bara api berbanding duduk di atas kubur.  Kalau nampak ada orang duduk di atas batu binaan kubur, jangan buat macam tu.  Nabi tak suka.”  Jelas saya.

“Dan kalau berjalan tu, kena hati-hati.  Jangan pijak atau melangkah kubur orang.”  Sambung saya lagi.

“Macam mana nak tahu itu kubur?”  Husna bertanya.

“Kalau nak kenal sesuatu kubur, lihat dua batu nisan yang berada di atas kubur tu.  Hah, dah nampak dua batu nisan tu, maknanya kat tengah-tengah tu kuburlah.  Ada ‘orang’ kat dalam tu.  Jangan langkah atau pijak tau”  Jelas saya kepada pertanyaan Husna.

“Kat kubur nanti tak perlu baca apa-apa ke, Abah?”  Soal Nabilah.

“Doakanlah untuk jenazah tu supaya ALLAH ampunkan dosa-dosa dia.  Dan dengarlah nasihat-nasihat Imam yang ada di kubur tu nanti ya.  Mudah-mudahan dengan perbuatan kita yang mendoakan untuk si mati, nanti apabila kita mati, ada orang sudi untuk doakan untuk kita juga.”  Jawab saya kepada Nabilah pula.

Sudah banyak kenderaan yang sampai.  Kelihatan tanah perkuburan tersebut masih banyak kosong.  Mungkin tanah perkuburan ini kawasan perkuburan baru.  Kelihatan lebih kurang 5 barisan panjang kubur di situ.  Saya mencari tempat yang sesuai untuk meletakkan kenderaan.  Anak-anak kelihatan teruja untuk mengamalkan apa yang telah dibincangkan tadi.

“Assalamu`alaikum!!!”  Tiba-tiba Faisal memberi salam sambil mengangkat tangan.  Kelihatan semangat betul dia.  Kuat pula suaranya.

“Faisal bagi salam kat siapa tu?”  Tanya saya tersenyum kehairanan.

“Faisal bagi salam kat kuburlah!”  Jawab Faisal dengan penuh yakin.

Saya tertawa melihat gelagatnya yang berjalan laju ke arah kubur.  Siap angkat tangan lagi beri salam kat kubur, hehe.  Dia berjalan paling depan mendahului kami sekeluarga.  Aduhai…

“Bukan beri salam macam tu…”  Saya menegurnya sambil tersenyum.

“Habis tu macam mana?”  Tanya Faisal dengan muka innocentnya.

“Beri salam perlahan-lahan dan tenang.  Terkejut pulak orang kat dalam kubur tu nanti, hehe”  Jawab saya sambil bergurau.

“Ooo…”  Respon Faisal selamba.  Kemudian dia ulangi semula beri salam dengan suara yang agak perlahan.  Hehe, macam-macam Faisal ni…

Sampai di kubur, saya terus menolong angkat keranda hingga ke tepi kubur.  Lubang kubur sudah tersedia.  Alhamdulillah, proses mengebumikan jenazah ke liang lahad berjalan dengan baik.  Saya tunjukkan pada Faisal dengan dekat bagaimana jenazah tersebut dikebumikan.  Supaya dia boleh nampak dengan jelas.

“Orang tu tadilah yang duduk dalam kotak keranda tu, yang Faisal ketuk tadi.  Nampak tak dia sedang ditanam ke dalam tanah?”  Saya membisikkan pada Faisal yang kelihatan khusyuk melihat proses pengebumian tersebut.

“Dia duduk dalam tu ke, Abah?”  Faisal bertanya dengan perlahan.

“Ya, semua orang yang mati akan duduk kat dalam tu”  Jawab saya ke telinganya.

Alhamdulillah, kelihatan anak-anak begitu menghayati keadaan yang berlaku di kubur.  Agaknya mungkin sebab mereka sudah diberikan penerangan dan nasihat tentang kelebihan dan adab di kubur ketika di dalam kereta.  Kalau mereka tidak diberi nasihat sebegitu, barangkali tentu lain persepsi dan lagak mereka.  Sekurang-kurangnya mereka tahu tujuan dan sebab mereka berada di situ.

Mudah-mudahan catitan ini bisa dimanfaatkan oleh anak-anak saya apabila mereka membacanya nanti.  Saya tulis catitan ini sebagai ingatan semula buat mereka.  Walaupun banyak lagi dialog yang tidak dimasukkan ke dalam ini disebabkan lupa, namun dengan tercatitnya dialog di atas semoga mereka dapat mengingat semula perbualan kami tentang kelebihan mensolatkan dan mengiringi jenazah ke kuburan serta adab-adabnya.

Semoga mereka semua menjadi anak-anak yang soleh, amin…

No comments: