07 March 2012

Kisah Ayah Mengajar Anak-Anaknya Tentang Jenazah & Kubur

Suatu pagi, di dalam kenderaan…

“Abah, kita nak pergi mana ni?”  Tanya Faisal hairan dengan jalan yang dipilih oleh saya pagi itu.

“Kita nak pergi sarapan.  Lepas tu pergi masjid.  Kemudian kita akan pergi ke kubur pulak”  Jawab saya sambil memandu kenderaan.

“Kubur?  Kubur tu apa Abah?”  Tanya Faisal lagi.

“Kubur tu tempat tinggal orang yang sudah meninggal dunia.”  Terang saya.

“Meninggal dunia?”  Faisal tercengang.

“Meninggal dunia tu matilah.  Kubur tu tempat orang yang sudah mati”  Jelas saya semula.

“Ooo…  Kubur tu kat mana Abah?”  Faisal dengan semangat bertanya.

Maklumlah ini kali pertama dia nak pergi ke kubur agaknya.  Sebelum ni dia dah pergi dah, tapi kecil lagi.  Kali ni dah empat tahun, tentu sifat ingin tahunya lebih tinggi.  Apatah lagi semua soalan-soalannya tak pernah dibiarkan saya tak berjawab.  Lagilah semangat dia nak tanya itu dan ini.

“Abah pun tak tahu kat mana?”  Jawab saya.

“Alaaa…  Abah gunalah telefon Abah”  Cadang Faisal agar saya menggunakan telefon bimbit.

Mungkin selama ini dia selalu perhatikan saya menggunakan aplikasi GPS di telefon bimbit apabila benar-benar tak tahu lokasi sesuatu tempat.  Sebab tulah dia mencadangkan agar saya menggunakan telefon bimbit supaya lokasi kubur itu boleh dicari.  Betapa semangatnya dia nak bantu saya, hehe…


sekadar gambar hiasan



“Hahaha… Nanti kita ikutlah orang ye”  Saya tertawa mendengar cadangan Faisal yang selamba itu.

Sampai di taman perumahan yang dimaksudkan, kami pun mencari restoran untuk bersarapan.  Alhamdulillah, selesai bersarapan kami pun bersegera ke masjid yang diberitahu oleh waris jenazah.  Sampai di masjid, kelihatan ramai orang sudah sampai.

“OK, anak-anak Abah tahu tak macam mana solat jenazah?”  Tanya saya kepada Nabilah dan Husna yang masing-masing berumur 9 tahun dan 7 tahun.

“Tak tahulah Abah”  Serentak mereka menjawab.

“OK takpe.  Anak-anak Abah ikut je Imam.  Ataupun ikut je Umi solat.  Solat jenazah ni tak macam solat biasa.   Solat jenazah tiada ruku` dan sujud.  Cuma takbir je.  Bilangannya empat kali takbir.”  Saya menjelaskan dengan ringkas di dalam kereta.

“Takde ruku` dan sujud??  Empat kali takbir??”  Nabilah dan Husna pelik.

“Ya, empat takbir je.  Takde rukuk dan sujud.  Cuma empat takbir sahaja, lepas tu terus beri salam.  Alaa, anak-anak Abah ikut je Imam tu nanti ye.”  Jelas saya sekali lagi.

“Apa nak baca Abah?”  Tanya Husna.

“Takbir pertama baca surah al-Fatihah.  Takbir kedua baca solawat ke atas Nabi.  Tahu kan solawat?”

“Tahu!”  Serentak Nabilah dan Husna menjawab.

“OK, lepas tu takbir ketiga doakan keampunan untuk jenazah.  Disebabkan jenazah yang kita nak solatkan ni ialah perempuan, jadi bacalah: 
Allahummaghfirlaha, warhamha, wa`afiha, wa`fu`anha.  


Dan takbir keempat baca:  Allahumma la tahrimna ajraha, wa la taftimna ba`daha, waghfirlana, wa laha…”  


Saya menjelaskan kepada Nabilah dan Husna sambil tersenyum, kerana saya sudah boleh mengagak apa reaksi yang akan mereka berikan.





“Alaa… Abah laju sangat laa… Mana Nabilah ingat”  Nabilah segera merespon sambil mengerutkan dahinya.

“Hehehe….  Takpe, takpe.  Anak-anak Abah ikut je pergerakan Imam nanti.  Pasal bacaan tak payahlah baca yang tak tahu tu.  Nanti kita belajar semula, OK”  Jelas saya sambil mengusap kepala kedua-dua anak dara saya itu.

Selepas itu, kami pun terus ke masjid dengan berjalan kaki.  Selepas lebih kurang 30 minit menunggu, barulah jenazah dibawa ke dalam masjid untuk disolatkan, selepas dimandikan di ruang mandi di masjid itu juga.  Selesai solat jenazah, saya dan beberapa yang hadir terus ke hadapan untuk mengangkat jenazah.

Tiba-tiba Faisal mengangkat tangan melambai saya.

“Abah, Abah angkat apa tu?!!  Abah angkat barang ke?!!”  Faisal menjerit dari sudut masjid bertanya kepada saya sambil tersenyum.

Saya cuma senyum padanya tak menjawab.  Lalu menunjukkan isyarat tangan menyuruhnya agar senyap.  Faisal pelik.

Sampai di depan pintu masjid, keranda diturunkan sebentar sebab van jenazah masih belum sampai.  Faisal tak puas hati.  Dia datang berdekatan dengan keranda, lalu diketuknya dengan tangannya.

“Tuk, tuk!”  Terkejut saya dibuatnya.

“Faisal buat apa tadi?”  Saya lalu menangkap tangannya untuk mengalihkannya menjauhi keranda.  Malu saya dibuatnya.

“Faisal ketuk nak tahu ada apa kat dalam tu?”  Faisal menjawab dengan penuh innocent.

“Faisal tak boleh buat camtu.  Dalam tu ada orang tau.  Jangan bising-bising.  Faisal pergi ke sana ye…”  Saya membisik kepadanya.  Lalu, dia pun lari ke dalam masjid selamba, menurut perintah.

Selepas Faisal beredar, saya kembali ke tepi keranda.  Tiba-tiba ada orang mencuit saya dari belakang, lalu memberikan saya sekeping kertas.  Saya ingatkan kertas apa?  Ingatkan kertas memo ke, tadzkirah ke, rupa-rupanya sekeping sampul berisi duit.  Ah, saya cuba kembalikan sampul kertas itu kepada lelaki tersebut, tetapi ditolaknya.  Saya berterima kasih, tapi serba salah.  Saya menjenguk-jenguk Faisal, mencarinya.  Tak kelihatan.  Yang kelihatan ialah Husna yang sedang berdiri di pintu masjid.

“Husna, sini kejap”  Saya memanggilnya.

“Kenapa Abah?”  Husna bertanya.

“Boleh tak Husna tolong Abah?  Husna tolong carikan peti duit masjid dan masukkan kertas ni kat dalam tu ye”  Saya meminta tolong.

“Boleh.  Tapi apa benda ni Abah?  Anggukannya disusuli pertanyaan

“Alaa… masuk je kat dalam peti masjid ye…”  Pinta saya.

Tak lama selepas itu, van jenazah pun sampai.  Selepas jenazah dimasukkan ke dalam van, masing-masing pun bersurai ke kenderaan masing-masing.  Ada yang pulang dan ada yang mengiringi jenazah ke kuburan.


.....bersambung.....

sumber:http://muzir.wordpress.com/2011/10/17/anak-anak-belajar-tentang-jenazah-kubur-1/




No comments: