16 July 2011

APM 2011: Tahniah, Artis Malaysia Menang Besar


Malam kemuncak Anugerah Planet Muzik 2011 (APM 2011) yang menggabungkan pemuzik dan penyanyi dari tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia berlangsung malam tadi dengan kejayaan besar dirangkul artis-artis dari Malaysia dalam pelbagai anugerah utama.


Berlangsung dari Max Pavillion Singapore Expo, Singapura, malam APM 2011 menyaksikan penyanyi nombor 1 negara, Datuk Siti Nurhaliza terus diiktiraf popularitinya apabila merangkul anugerah Artis Serantau Paling Popular (selama lebih sedekad) manakala malam APM 2011 akan terus dikenang Hafiz AF7 apabila dia merangkul dua anugerah iaitu Lagu Terbaik dan Lagu Terbaik Malaysia menerusi Awan Nano.


                          APM 2011: Tahniah, Artis Malaysia Menang Besar

Kejayaan artis tempatan lain dalam mengungguli anugerah masing-masing adalah Faizal Tahir yang merangkul kategori Artis Lelaki Terbaik. Gandingan trio, Ana Raffali, Sohaimi Meor Hassan dan Altimet juga pulang dengan senyuman apabila memenangi Vokal Terbaik (Duo/Kumpulan Baru).

Gabungan tiga suara hebat iaitu Jaclyn Victor, Ning Baizura dan Shila Amzah juga membawa tuah kepada mereka apabila dinobatkan sebagai Duo/Kumpulan Terbaik menerusi album 3 Suara.

Sementara itu, Dayang Nurfaizah dengan pasangan duetnya iaitu penyanyi dari Indonesia, Marcell memenangi kategori Kolaborasi Terbaik menerusi lagu Sayang.
Penyanyi baru, Amanda Imani pula membuat kejutan apabila memenangi kategori Vokal Terbaik (Artis Baru Wanita) menerusi lagu Selamilah Cinta.

Anugerah yang memberi pengiktirafan kepada penggiat muzik dari tiga buah negara, Singapura, Malaysia dan Indonesia itu dianjurkan oleh Mediacorp dan Beyond Events dengan kerjasama Astro Ria, sebagai penyiar rasmi di Malaysia.

Majlis tersebut dihoskan oleh pelakon dan pengacara Didie Alias bergandingan dengan dua pengacara Singapura, Fizo O dan Adi Rahman.





Senarai Keputusan Pemenang Anugerah Planet Muzik APM 2011
Album Terbaik - Energi (Kotak)
Artis Lelaki Terbaik - Faizal Tahir (Adrenalin)
Artis Wanita Terbaik - Rossa (Harmoni Jalinan Nada & Cerita)
Lagu Terbaik - Awan Nano (Hafiz)
Vokal Terbaik (Artis Baru Lelaki) - Sandhy Sondoro (Bunga Mimpi)
Vokal Terbaik (Artis Baru Wanita) - Amanda Imani (Selamilah Cinta)
Vokal Terbaik (Duo/Kumpulan Baru) - Ana Raffali, Sohaimi Meor Hassan & Altimet (Kalau Berpacaran)
Duo/Kumpulan Terbaik - Jaclyn Victor, Ning Baizura & Shila Amzah (3 Suara)
Lagu Serantau Paling Popular - Angkasa (Hady Mirza)
Artis Serantau Paling Popular (Selama Lebih Sedekad) - Datuk Siti Nurhaliza
Kolaborasi Terbaik - Dayang Nurfaizah & Marcell (Sayang)
Lagu Singapura Paling Popular - Angkasa (Hady Mirza)
Artis Singapura Paling Popular - Hady Mirza
Lagu Terbaik Singapura - Lagu Teman (The Lion Story feat Zahidah)
Lagu Terbaik Malaysia - Awan Nano (Hafiz)
Lagu Terbaik Indonesia - Cintailah Aku Sepenuh Hati (Ari Lasso)
Anugerah Khas Planet Muzik - Melly Goeslaw





No comments: